Saya anak orang miskin, waktu kecil belajar membaca dengan buku Sejarah STPM tinggalan kakak sepupu Kak Na sebab tak banyak duit nak beli buku kanak - kanak yang cantik dan baru. Awal masuk darjah 1, satu - satunya perkataan bahasa Inggeris yang saya tahu ialah "thank you". Pertama kali dengar bahasa Inggeris waktu kelas darjah 1 sebab masa tadika selalu sembunyikan diri bawah meja guru. Masuk darjah 4, ayah dan mak mula rasa bahasa Inggeris tu penting lepas tengok Tun Mahathir bersungguh - sungguh laksanakan PPSMI.
Daerah saya tak ada kedai buku. Nak beli buku kena ke Alor Setar, naik bas atau teksi sebab waktu tu tak ada kereta lagi. Jadi, ayah belikan saya novel - novel Inggeris secara pos dari Alaf21. Umur 10 tahun, saya belajar memalang wang pos dan menimbang surat untuk tahu harga setem. Kata ayah, kalau setem tak cukup, surat tak sampai. Darjah 5, makin banyak perkataan Inggeris yang saya tak tahu dan selalu saya hubungi Kak Jan untuk bertanyakan maksud. Kak Jan belikan saya kamus dwibahasa yang saya kongsi dengan abang. Masuk tingkatan 1, YB Suraya hadiahkan kamus baru yang saya masih guna sampai sekarang.
Di sekolah menengah, guru - guru banyak bagi peluang. Dari tingkatan 1 hingga 3, Teacher Nora mengukuhkan asas bahasa Inggeris saya yang telah disemat oleh Teacher Azizah di sekolah rendah. 5 esei setiap minggu. Masuk menengah atas, Teacher Syarafina mengajar saya berbahas dan Teacher Khairunnisak pula melatih saya ber"public speaking". Setiap latihan saya dipantau Madam Siti Hajar. Syukur padaNya, berkat usaha mereka dan ibu bapa, bahasa Inggeris tak menjadi penghalang utama anak kampung macam saya.
Namun tak semua orang seia dengan saya. Sebagai PK Pengawas Perempuan, saya jarang mengetuai bacaan ikrar. Kebiasaannya, saya cuma diberi peluang sewaktu perhimpunan Inggeris. Pernah sekali, sepupu pulang beritahu bapa saudara yang saya berlagak bercakap bahasa penjajah di pentas sekolah. Pernah juga seorang berjawatan terhormat memerli saya, "pandai berpidato. Reti cakap Inggeris sikit, dah lupa bahasa Melayu. Orang macam kamu ni, besar nanti jadi ahli politik penipu"
Ya, tuan memang hebat.
Tuan graduan SBP, saya ni cuma anak sekolah biasa.
Bagi tuan, bahasa Inggeris sudah ibarat lingua franca.
Bagi kami, bahasa Inggeris musuh utama.
Tuan dah puas berbahasa Inggeris dengan loghat British di rumah.
Saya ini, bahasa Melayu pun pekat dengan loghat Kedah.
Kawan sekelas saya, ada yang berdialek Siam. Memang tuan hebat, tapi hebatkah tuan dengan menyekat kemajuan orang lain? Tak sedar dirikah saya ini hanya kerana status Facebook dalam Inggeris? Perasan hebatkah saya ini kalau berbual dalam bahasa Inggeris? Melayu saya bukan pada mulut. Baju kurung saya pakai setiap hari, jalan saya membongkok di depan orang yang saya hormati. Bersusun piala pidato diraja saya dalam almari. Melayu saya bukan Melayu tak sedar diri. Melayu ini sedang cuba membaiki diri. Melayu ini mencari peluang untuk menggapai mimpi. Melayu saya letaknya pada hati. Bukan asalnya saya dari usul yang hebat berdaulat, asalnya saya dari impian yang tidak mahu bangsa ini terus hidup berpapahkan tongkat. Diri ini sedegil ayah,ibarat daun keladi air dicurah. Namun jangan disekat anak - anak kampung yang lain dengan sikap anda yang suka mengutuk dan menjatuhkan. Ini satu amaran.
No comments:
Post a Comment